Kawasan gondol Cameron Highlands kembali ‘hijau’ – Utusan

Utusan Malaysia
Oleh WAT KAMAL ABAS | 6 September 2024, 6:15 am

CAMERON HIGHLANDS: Penanaman semula pokok sejak lebih 10 tahun lalu di sekitar Cameron Highlands berjaya memulihkan kawasan yang pernah gondol akibat penerokaan secara berleluasa.

Presiden Persatuan Keseda­ran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), A. Dilip Martin berkata, antara terjejas teruk ialah kawasan seluas 10 hektar di Gunung Brinchang.

“Bimbang jika ia berterusan yang akan memberi impak besar terhadap masa depan Cameron Highlands, REACH mengambil inisiatif menanam semula pokok.

“Selepas lebih 10 tahun, kawasan yang dahulunya gondol kini kembali dipenuhi pokok.

“Lebih menggembirakan, pel­bagai jenis serangga, burung mig­rasi dan haiwan yang sukar ditemukan kini kembali ke hutan ini,” katanya.

Beliau ditemui dalam program penanaman pokok bersama 34 murid dan empat guru Sekolah Kebangsaan Brinchang di Pusat Biodiversiti Gunung Brinchang di sini, semalam.

Dilip Martin memberitahu, kekurangan pokok akibat pene­rokaan menyebabkan suhu Cameron Highlands tidak lagi sejuk seperti dahulu.

Menurutnya, purata suhu harian di sini ketika ini meningkat antara 24 darjah Celsius pada waktu siang berbanding 20 hingga 21 darjah Celsius sebelum ini.

“Sebab itu penanaman semula pokok perlu dilakukan bagi mengembalikan semula suhu sejuk di Cameron Highlands.

“Sekiranya pembangunan ti­dak dikawal, tidak mustahil Ca­meron Highlands akan hilang identiti sebagai salah satu tempat tinggi yang mempunyai suhu sejuk di negara ini,” ujarnya.

Katanya, REACH bekerjasama dengan Yayasan Sime Darby dalam usaha menanam pokok di sini.

Jelas beliau, pihaknya me­nerima peruntukkan selama dua tahun bagi menanam semula 20,000 anak pokok endemik di Gunung Brinchang. – UTUSAN

Kawasan gondol Cameron Highlands kembali ‘hijau’ (utusan.com.my)