Amirrul Rabbani Rashid – 6 September 2024
CAMERON HIGHLANDS – Kawasan peranginan tanah tinggi di Cameron Highlands didakwa mengalami perubahan kenaikan suhu ketara dalam tempoh lima ke enam tahun kebelakangan ini.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A Dilip Martin mendakwa, suhu dingin pada waktu siang di kawasan berkenaan kini hanya mencecah 24 darjah celcius berbanding suhu sejuk 20 ke 21 darjah celcius sebelumnya.
Dakwanya, situasi berkenaan didapati berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah-tanah baharu termasuk bagi projek komersial, dan aktiviti pertanian yang menyaksikan tumbuhan berfungsi untuk menyejukkan kawasan sekitar, terpaksa dimusnahkan.
“Kalau dahulu penduduk tempatan dan pengunjung dari luar terpaksa memakai pakaian tebal di Cameron Highlands kerana cuaca yang sangat dingin dan berkabus.
“Berbeza keadaan sekarang, orang ramai boleh berpakaian kemeja-T sahaja kerana udara sudah tidak lagi rasa sejuk khususnya pada waktu siang. Kini kalau betul-betul nak rasa keadaan sejuk adalah selepas hujan,” katanya.