Pembinaan jalan tidak selesai kesesakan Cameron Highlands

Utusan Malaysia – 26 September 2025, 3:55 pm

Pembinaan jalan tidak selesai kesesakan Cameron Highlands

Pembinaan jalan tidak selesai kesesakan Cameron Highlands

PENDUDUK mengadakan bantahan terhadap cadangan pembinaan jalan pintasan di Tanah Rata di Cameron Highlands semalam. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Oleh LIYANA RAMLI
26 September 2025, 7:00 am

CAMERON HIGHLANDS: Cadangan pembinaan jalan pintasan di Tanah Rata di sini mendapat bantahan daripada penduduk setempat yang bimbang kesan negatif terhadap alam sekitar, perniagaan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Pengurus The Smokehouse Hotel, Alex Lee, berkata, isu utama kesesakan lalu lintas di daerah itu berpunca daripada kawasan Kea Farm bukannya Tanah Rata sehingga mahu dibina jalan pintasan.

Katanya, semua penduduk Cameron Highlands sudah lama maklum bahawa kawasan Kea farm punca utama kesesakan lalu lintas di tanah tinggi itu terutamanya semasa musim cuti dan hujung minggu.

“Saya tinggal di sini lebih 16 tahun dan keluarga saya sudah terlibat di kawasan ini sejak tahun 1970-an.

“Masalah sebenar bukan di Tanah Rata, tapi di Kea Farm. Jadi penyelesaian sepatutnya difokuskan di Kea Farm, bukan dengan membina jalan baharu di kawasan lain seperti di Tanah Rata,” katanya di sini semalam.

Beliau juga mempersoalkan keperluan untuk menukar Jalan Griddle di sini berhampiran padang golf kepada sistem sehala memandangkan jalan itu merupakan antara laluan tertua dan tercantik di Cameron Highlands serta digunakan oleh ramai penduduk tempatan untuk beriadah.

“Saya bimbang perubahan ini akan menjejaskan bukan sahaja perniagaan saya tetapi juga warisan dan nilai estetika kawasan ini.

“Jalan Griddle ada nilai sejarah dan menjadi identiti Cameron Highlands sejak zaman 1930-an lagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Roy Margaret berkata, penduduk tidak berpuas hati kerana tidak dilibatkan dalam sesi libat urus mengenai cadangan pembinaan laluan pintasan tersebut.

Katanya, cadangan jalan pintasan itu melibatkan kawasan perumahan dan hutan serta boleh memberi kesan jangka panjang terhadap komuniti setempat.

“Kami tidak menolak pembangunan tetapi biarlah ia berlandaskan konsep pembangunan lestari.

“Banyak kawasan seperti Gunung Jasar, Carnation Park hingga ke Villa Dahlia sudah pun sesak,” katanya.

Roy berkata, masalah sebenar kesesakan lalu lintas di sini bukan berpunca daripada kekurangan jalan tetapi disebabkan isu tempat letak kereta yang tidak mencukupi serta pembangunan tidak terkawal di kiri dan kanan jalan utama yang sedia ada.

“Kalau buat jalan baharu pun, apakah jaminan kiri kanan jalan itu tidak akan dibangunkan lagi? Apabila ada pembangunan, masalah akan berulang, jadi tiada beza.

“Banyak isu teknikal termasuk kajian impak alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan laluan pintasan itu masih belum diperjelaskan, termasuk kesan terhadap kawasan tanah tinggi, gunung, dan spesies flora dan fauna yang semakin pupus,” katanya.-UTUSAN