Utusan Malaysia – 13-June-2023
KAWASAN Hutan Mossy atau hutan berlumut berhampiran Gunung Brinchang, Cameron Highlands yang dikatakan akan dibangunkan pembangunan bercampur. – IHSAN REACH
Oleh SAYED HISHAM IDERIS
13 Jun 2023, 8:31 am
CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) membantah pengubahan pengezonan hutan di tanah seluas 20.8 hektar di Hutan Montane atau mossy berhampiran Gunung Brinchang di sini, kepada pembangunan bercampur menerusi satu perjanjian yang dimeterai pada Mac 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, pembangunan yang dirancang di kawasan itu merangkumi hartanah kediaman dan komersial termasuk pangsapuri berperkhidmatan, kedai runcit dan unit kediaman bertanah serta meminta Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLAN) negeri Pahang membatalkan pengubahan pengezonan itu.
Kata beliau, pihaknya membantah pengubahan zoning di kawasan itu atas beberapa faktor terutama disebabkan tanah di kawasan itu mempunyai risiko tanah runtuh dan banjir kilat yang tinggi jika ia diganggu.
Katanya, kawasan tersebut mempunyai lereng yang daripada 35 darjah, ketinggian lebih dari 1,500 meter dari paras laut dan terletak dalam Mukim Tanah Rata, yang mana kejadian bencana alam adalah antara yang tertinggi di Cameron Highlands.
“Mengikut Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH 2030) (Penggantian), kawasan tersebut berada dalam KSAS (Kawasan Sensitif Alam Sekitar) Tahap 1, yang mana terdapat Hutan Ericaceous-Gunung atau Hutan Berlumut atau Mossy Forest dan tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.
“Kelulusan ini bercanggah dengan Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun boleh menggunakan atau membangunkan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut Rancangan Tempatan’, jadi mengapakah perjanjian usahasama ini diluluskan?,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pembangunan di atas tanah itu juga memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands berikutan kedatangan pelancong yang meningkat mendadak sehingga melebihi 600,000 setahun pada tahun 2013.
“Bukankah pihak yang berkenaan harus menyelesaikan atau mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sebelum memberi kelulusan kepada lebih lagi pembangunan?,” katanya.
Dilip Martin berkata, Reach juga bimbang pembangunan bercampur itu akan menyebabkan kerosakan Hutan Mossy, iaitu produk pelancongan yang terkemuka di tanah tinggi itu.
“Hutan berlumut atau mossy forest di Gunung Brinchang merupakan antara produk pelancongan yang terpenting di Daerah Cameron Highlands. Keadaan muka bumi berlumut yang menyelaputi tanah di hutan itu, menjadikannya unik kepada pendaki dan pencinta alam, di kawasan sini juga terdapat tumbuh-tumbuhan dan mamalia yang unik seperti Serow Black Panther dan Civet Cat.
“Ketika kita mahu melihat Cameron Highlands menjadi destinasi eko-pelancongan yang istimewa, bagaimana boleh kita mengorbankan hutan mossy ini demi pembangunan,” katanya.
Katanya, satu lagi impak membimbangkan daripada pembangunan bercampur itu ialah ia boleh merosakkan Sungai Burung, yang terletak di tepi kawasan tersebut.
Menurutnya, Sungai Burung adalah di antara sungai Kelas 1-II di Cameron Highlands dan pernah menjadi sungai yang membekalkan air untuk Loji Sungai Burung.
“Di Cameron Highlands, sungai-sungai yang bersih sudah amat kurang, perlukah satu lagi sungai yang mengalir sepanjang hutan mossy dimusnahkan demi pembangunan?
“Reach memohon supaya PLAN negeri Pahang tidak menyokong dan tidak meluluskan permohonan untuk pembangunan bercampur di kawasan tersebut demi menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya. – UTUSAN