31-May-2024 – https://www.utusan.com.my/…/kurang-parkir-punca-trafik…
CAMERON HIGHLANDS: Masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands seperti yang berlaku pada musim cuti sekolah ketika ini boleh diatasi jika lebih banyak tempat letak kenderaan disediakan.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) A. Dilip Martin berkata, ini kerana punca utama berlakunya kesesakan lalu lintas adalah di kawasan Kea Farm, sedangkan kawasan tersebut tidak mempunyai kawasan parkir yang mencukupi.
Menurutnya, dengan kekurangan parkir di situ, pelancong tiada tempat meletakkan kenderaan mereka di kawasan Kea Farm.
“Cadangan untuk menaik taraf dan memperbesarkan jalan sedia ada dari Brinchang ke Tringkap tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas selagi masalah kekurangan parkir tidak diatasi.
“Juga mengapa perlu membazir duit untuk membuka satu lagi jajaran jalan baru dari Habu sampai ke Simpang Smoke House yang boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dilip mendakwa, pada tahun 2012, kerajaan meluluskan cadangan pembinaan satu kawasan kawasan perniagaan di Kea Farm, merangkumi parkir bertingkat dan semua kedai tepi jalan dipindahkan di dalam kawasan perniagaan tersebut dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pelancong.
Menurutnya, cadangan pembangunan bercampur di kawasan Kea Farm juga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan boleh merosakkan alam sekitar di kawasan tersebut.
“Begitu juga cadangan tempat letak kereta sementara di Sungai Burung tidak akan menyelesaikan masalah lalu lintas kerana tempat itu jauh dari kawasan tumpuan Kea Farm.
“Tidak perlu membazir duit dengan membina parkir sementara jika boleh selesaikan dengan membina parking bertingkat dan kawasan perniagaan di Kea Farm,” katanya.
Menurutnya, cadangan untuk menaik taraf dan memperbesarkan jalan sedia ada dari Brinchang ke Tringkap untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas tidak akan selesai jika parkir secukupnya tidak disediakan.
“Pembukaan satu lagi jajaran jalan baru dari Habu sampai ke Simpang Smoke House boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang teruk,” katanya. – UTUSAN