Sungai di Cameron Highlands bakal lenyap ditimbus tanah, sampah

Oleh SAYED HESHAM SAYED IDRIS
8 Disember 2024, 7:01 am
https://www.utusan.com.my/terkini/2024/12/bencana-menanti-cameron-highlands

CAMERON HIGHLANDS: Beberapa anak sungai di Cameron Highlands dilanda kemusnahan disebabkan aktiviti pembua­ngan tanah, termasuk tanah daripada projek pembinaan rumah yang dibawa air hujan ma­suk ke sungai-sungai tersebut.

Perkara itu dikesan Persa­tuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) ketika melakukan rutin tinjauan baru-baru ini.

Reach turut mendakwa kea­daan itu melibatkan dua batang sungai iaitu Sungai Jasar di Ta­nah Rata dan Sungai Khazanah di Habu dan ia memberi im­plikasi anak sungai itu menjadi terlalu cetek.

Jika keadaan itu berterusan, dikhuatiri kedua-dua sungai itu akan lenyap.

Sungai Jasar di Tanah Rata, terjejas teruk akibat kegiatan membuang tanah yang diangkut ke situ menggunakan lori.

Setiap hari, tanah diangkut daripada satu kawasan lain dan dibuang atau ditambak di kawasan tebing berdekatan sungai tersebut.

Operasi membuang tanah itu difahamkan, hanya dilakukan di tebing sungai namun dek kerana kuantiti tanah dibuang terlalu banyak, ia menyebabkan tanah berkenaan menggelongsor lalu masuk ke dalam aliran sungai.

Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, kegiatan menambah tanah itu sudah lama dikesan berlaku menyebabkan lama kelamaan anak Sungai Jasar tertimbus lalu menyekat sama sekali aliran airnya.

Ujarnya, situasi buruk itu turut menjejaskan ekosistem su­ngai malah lebih dikesalkan apabila pokok di tebing sungai turut musnah ditimbus tanah yang dibuang itu.

Lebih malang lagi aliran air tersumbat itulah yang mencetuskan insiden banjir di kawasan berdekatan terutama di Pangsapuri Jasar di Tanah Rata.

“Laluan air anak Sungai Jasar melalui hingga ke Jalan Tengkolok dan sampai ke Flat Jasar, sedangkan kedalaman air anak sungai itu semakin cetek kerana dipenuhi tanah akibat kerja-kerja penambakan tanah.

Keadaan sebatang sungai yang cetek, keruh dan kotor akibat pencemaran dan pembuangan tanah.
“Bila alirannya tersekat, air melimpah menyebabkan banjir kilat. Sudah kerap kali kawasan Flat Jasar ini terjadi banjir kilat dengan air bercampur dengan lumpur,” katanya yang turut mengakui hairan bagaimana kerja-kerja menambak tanah dilakukan di kawasan yang berdekatan dengan anak sungai.

Lebih daripada itu, katanya, sebelum ini anak Sungai Jasar dikategorikan sebagai Sungai Kelas 1, iaitu airnya boleh diminum kerana sungai itu tiada sebarang gangguan daripada aktiviti manusia.

“Sekarang sungai itu boleh dikatakan sebagai kategori Su­ngai Kelas 3 atau 4, iaitu mengalami proses kematian biodiversiti.

“Keadaan ini amat menyedihkan kerana sepatutnya kha­zanah alam berharga dan pen­ting dalam kehidupan manusia ini dijaga sebaiknya,” katanya.

Malah pihaknya percaya ada lagi sungai di Cameron Highlands mengalami penurunan Kelas, impak daripada pemba­ngunan yang semakin meluas di tanah tinggi itu.

Dianggarkan terdapat 126 anak sungai di kawasan berkenaan namun 12 anak sungai atau 10 peratus sahaja dikategorikan Kelas 1.

“Akibat penerokaan tanah tidak terkawal, jumlah anak sungai yang dikategorikan Kelas 1 semakin hari semakin menurun.

“Setakat ini daripada 12 anak sungai dikategorikan dalam Kelas 1, dua daripadanya iaitu Su­ngai Jasar dan Sungai Khazanah ternyata sudah tidak lagi boleh dikategorikan Kelas 1, kerana keadaannya sudah jauh berubah.

“Jika pembangunan tidak dikawal, keadaan anak sungai akan jadi lebih teruk malah hilang begitu sahaja,” katanya.

BENTUK SUNGAI HILANG
Selain anak Sungai Jasar, satu lagi sungai mengalami nasib sama ialah Sungai Khazanah di Habu di sini.

Sungai itu juga semakin cetek sehingga menghilangkan bentuk asalnya sebagai sebatang sungai apabila dipenuhi mendapan tanah, berpunca daripada projek perumahan di kawasan berbukit berdekatan sungai tersebut.

Dilip Martin berkata, lokasi projek perumahan di atas bukit itu membawa sekali tanah dan lumpur ke dalam sungai setiap kali hujan lebat, menyebabkan semakin hari makin banyak ta­nah mendap ke dalam sungai itu, menyebabkan Sungai Kha­zanah kian cetek.

Kini, hanya terdapat aliran air yang kecil di Sungai Khazanah, satu keadaan yang disifatkan sebagai perubahan sungai yang sangat mengejutkan.

“Pernah berlaku banjir lumpur di jalan besar di Sungai Khazanah yang berpunca daripada aliran air bercampur tanah dan lumpur dari kawasan atas bukit.

“Lokasi pembinaan rumah itu juga tidak sesuai kerana terlalu dekat dengan Empangan Sultan Abu Bakar Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

REACH mengesan ada kawasan anak sungai yang dijadikan lokasi pembuangan pelbagai sisa buangan.
Menurutnya, pembinaan projek rumah itu tidak sesuai kerana aliran air hujan dari projek tersebut terutama hakisan tanah mengalir masuk ke dalam Empangan Sultan Abu Bakar.

“Setiap kali banjir, hakisan tanah akan masuk ke dalam empangan ini dan TNB terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyelesaikan masalah bahan buangan di empangan itu seperti mengorek pasir dalam empangan,” katanya.

PLASTIK ANCAM SUNGAI
Sungai di Cameron Highlands turut berdepan ancaman serius akibat bahan buangan plastik daripada rumah plastik dan guni baja daripada aktiviti pertanian yang dibuang ke dalam sungai.

Bahan buangan yang sukar dimusnahkan itu menjadi ancaman serius terhadap ekosistem di tanah tinggi ini yang boleh menjadi punca berlaku bencana alam terutama banjir.

Menurut Dilip Martin, sisa plastik bukan sahaja menjejaskan hidupan akuatik tetapi menyebabkan saliran air tersumbat.

“Cameron Highlands memang berdepan ancaman pembuangan sisa plastik dari rumah plastik atau rumah hijau kebun sayur dan kebun bunga.

“Ini kerana kawasan pertanian di di Cameron Highlands ini luas iaitu dari Ringlet hingga Blue Valley yang ditutupi de­ngan rumah plastik.

“Memang rumah plastik mempunyai ketahanan untuk digunakan dalam tempoh masa panjang, namun dengan saiz tanah pertanian yang terlalu luas, menyebabkan penukaran rumah plastik kerap dilakukan dan ia secara tidak langsung mewujudkan sisa buangan plastik yang banyak,” katanya.

Tegasnya, membuang sisa rumah plastik dan guni baja plastik ke dalam sungai adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana plastik boleh dijadikan bahan kitar semula.

Tambah beliau, selain rumah plastik dan guni baja plastik, pelbagai barangan keperluan harian yang dibungkus dengan plastik juga boleh menjadi ancaman kepada alam sekitar kerana jumlahnya yang banyak.

Namun yang menjadi masalah ialah tiada syarikat vendor boleh melakukan proses mengumpul sisa plastik bara­ngan untuk dikitar semula di tanah tinggi itu.

Biarpun ada agensi kerajaan yang melaksanakan pengumpulan sisa plastik tetapi ia masih tidak mampu mengatasi pembuangan rumah plastik dan guni baja plastik ke dalam sungai.

“Pembuangan guni baja plastik ke dalam sungai juga menjejaskan hidupan sungai dan lebih membimbangkan jika ia mempunyai bahan kimia yang boleh mencemarkan airnya,” katanya.

Sehubungan itu, Dilip Martin berkata, satu langkah drastik harus dilaksanakan bagi me­ngawal pembuangan sisa plastik pertanian di sini antaranya dengan mengawal pekebun daripada aspek pembelian baja pertanian.

Katanya, ia boleh dilaksanakan dengan agensi kerajaan berkaitan harus memastikan jika pekebun memesan 100 guni baja, untuk pembelian baja yang seterusnya, pekebun mesti memulangkan semula guni baja yang sudah mereka gunakan.

“Maknanya kalau pekebun beli 100 guni baja, bagi pembelian seterusnya mereka perlu memulangkan 100 guni baja yang kosong untuk dikitar se­mula. Kaedah ini dapat me­ngatasi pekebun daripada membuang guni baja plastik ke dalam sungai,” katanya.

Menurutnya, masalah itu juga boleh diatasi dengan mewujudkan vendor yang mam­pu mengumpul sisa bua­ngan plastik dan dihantar ke tempat kitar semula.

“Reach berharap pihak ber­kenaan memberi perhatian terhadap masalah pembuangan sisa plastik daripada pertanian sebelum ia menyebabkan kemudaratan kepada alam sekitar di sini,” katanya.

PENEROKAAN TANAH
Reach turut melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan penerokaan tanah untuk pertanian dan agro pelancongan yang tidak mengikut peraturan di kawasan tanah tinggi itu yang boleh menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh.

Dilip Martin berkata, pihak­nya mengesan ada kawasan di­teroka melibatkan pembersihan hutan di kawasan bukit.

Katanya, apa yang membimbangkan ialah jika pembersihan dilakukan tanpa mengikut syarat kelulusan permit kerja tanah yang ditetapkan.

Kata beliau, antara yang tidak mengikut syarat ialah tanah bukit yang dipotong terus memasuki sungai selain kerja memotong bukit melibatkan kawasan bukit dan tanah tinggi Kelas IV dalam Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi, yang melibatkan kawasan bukit berkecerunan tidak lebih 35 darjah.

“Reach bimbang dengan keadaan ini kerana ia boleh menyebabkan bencana alam se­perti tanah runtuh. Malah ada tanah yang diteroka mempu­nyai kelulusan daripada penta­dbir tanah namun Reach bimbang jika penerokaan tidak mempunyai sebarang permit kerja tanah,” katanya.

Pihaknya turut mengesan kerja-kerja tanah tetapi tidak menyediakan perangkap ta­nah dan memotong bukit menyebabkan tanah yang dipotong terus memasuki sungai.

“Reach memohon supaya laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek yang melibatkan penerokaan tanah dibentangkan kepada umum supaya penduduk Cameron Highlands tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.

Penerokaan bagi tujuan pelbagai projek komersial menjadi antara penyebab cuaca di kawasan peranginan itu tidak lagi sesejuk dahulu.

Pembangunan bagi tujuan aktiviti pertanian, eko pelancongan dan premis perniagaan menyebabkan banyak kawasan hijau dan pokok-pokok yang sepatutnya berperanan sebagai ‘penghawa dingin’ semula jadi dimusnahkan.

Perubahan suhu paling ketara dapat dirasai di tanah tinggi itu terutama tempoh lima ke enam tahun kebelakangan ini apabila banyak pembukaan tanah-ta­nah baharu dilakukan.

“Suhu dingin pada waktu siang di sini mencapai 24 darjah selsius berbanding suhu sejuk 20 ke 21 darjah selsius sebelum ini.

“Dulu penduduk tempatan dan pengunjung memakai pakaian tebal kerana cuaca dingin dan berkabus, tapi sekarang ramai yang pakai kemeja-T sahaja kerana udara tidak lagi sejuk,” katanya.

Dilip Martin berkata, pihak­nya berusaha mengekalkan suhu sejuk tanah itu melalui penanaman semula pokok yang dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu di sekitar Cameron Highlands.

Jelasnya, program itu berjaya memulihkan kawasan yang satu ketika dahulu pernah gondol akibat penerokaan berleluasa dan antara terjejas teruk ialah kawasan seluas 10 hektar di Gunung Brinchang.

“Selepas lebih 10 tahun, kawasan yang dahulunya gondol kini kembali dipenuhi pokok.

“Lebih menggembirakan, pel­bagai jenis serangga, burung mig­rasi dan haiwan yang sukar ditemukan, kini kembali ke hutan ini yang sebelum ini tanah gondol,” katanya. – UTUSAN